Lqhx0TURF_15Boc_TC_UxW7ReY4 KAMUNTING CENTRAL: Panas!! Usop Wilcha Kahwin Lebih Daripada Empat..?

Pages

Tuesday, December 11, 2012

Panas!! Usop Wilcha Kahwin Lebih Daripada Empat..?


Memegang watak hero dalam filem bukan hanya layak untuk lelaki muda, sebaliknya jika jalan cerita yang dihasilkan menarik di samping gabungan pelakon yang mantap, pelakon berusia juga mampu membuahkan hasil lumayan. Tambahan pula sekarang penonton sudah dapat menilai mutu lakonan seseorang pelakon tanpa memandang usia.


Diberi peluang memegang watak utama sebagai Dr K dalam filem Kahwin 5 Miang Lawan Pailang, ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullail atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha bagi menarik penonton ke panggung menyaksikan filem itu.


Jika sebelum ini Usop mula dikenali menerusi filem Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, bekas penyampai radio Hot FM ini tampil lagi dengan filem bergenre komedi Kahwin 5 Miang Lawan Pailang terbitan Showbiz Productions arahan Nizam Zakaria.


Berpeluang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Norish Karman, Dian P Ramlee, Marsha Milan Londoh dan Adrea Abdullah, Usop berkata, dia tertarik dengan filem ini bukan hanya kerana genre komedi yang ditampilkan sebaliknya jalan ceritanya.


"Seperti yang kita ketahui, orang lelaki dibenarkan berkahwin empat malah filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Madu Tiga juga cukup popular sehingga kini. Tetapi apabila wujudnya kahwin lima pasti menjadi tanda tanya semua, bagaimana boleh timbul masalah kahwin lima.


"Apa yang saya lihat wujud keserasian pada keempat-empat isteri Dr K di mana isteri pertamanya lakonan Dian P Ramlee begitu baik dan pandai melayan tiga madunya yang lain sehingga saya pernah terfikir alangkah baiknya jika situasi ini benar-benar berlaku di luar sana dan boleh mengurangkan masalah perceraian," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Kahwin 5 Miang Lawan Pailang di Damansara baru-baru ini.


Mengakui tidak dapat lari daripada melakonkan watak komedi, Usop berkata, semua ini atas kehendak pengarah yang mana mereka melihat watak dan pembawakandirinya lebih terarah kepada komedi.


"Saya tidak menafikan semua orang beranggapan saya seorang yang kelakar selepas menyaksikan watak saya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan sejak itu banyak tawaran lakonan yang diterima adalah watak lucu.


"Terpulang pada pandangan masing-masing dan saya berusaha mengikut kehendak pengarah jika mereka mahukan saya berlakon watak kelakar saya harus melaksanakannya.


"Disebabkan ekspresi dan watak yang dilakonkan juga ramai yang melabel saya seorang yang lucu dan saya tidak ada masalah untuk menerima pandangan itu," katanya.


Mengulas pengunduran dirinya daripada stesen radio Hot FM, Usop berkata ia tidak dipengaruhi oleh sesiapa tetapi tuntutan kerja dan ingin lebih fokus terhadap satu bidang iaitu lakonan membuatnya nekad dengan keputusanitu.


Baginya, dia lebih selesa berada di set penggambaran kerana sukakan suasana dapat berkumpul bersama rakan artis dan kru di samping dapat berkongsi pengalaman masing-masing.


Malah dia sedikitpun tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat kerana sudah memikirkan sedalam-dalamnya mengenai keputusan itu. Dia sepatutnya menamatkan kontrak bersama stesen radio Media Prima itu pada Jun tahun depan meminta diawalkan sehingga 30 November lalu.


"Usia saya bukan muda lagi, bila terlalu sibuk dan terkejar-kejar terasa masa untuk bersama keluarga semakin kurang.


"Empat tahun berkahwin saya kini dikurniakan seorang anak berusia dua tahun dan pastinya saya mahukan lebih masa bersamanya.


"Tetapi tuntutan kerja yang tidak menentu apabila habis saja di konti saya perlu lari ke lokasi penggambaran membuatkan saya harus memilih satu keputusan demi keselesaan bersama.


"Justeru saya memilih untuk lebih fokus terhadap bidang lakonan selain beberapa projek penulisan skrip untuk filem Mamat Khalid serta promosi beberapa filem lakonan saya yang bakal ditayangkan tidak lama lagi antaranya Kahwin 5," katanya.


Selain itu, Usop juga sedang giat melaksanakan sebuah lagi program bual bicara yang akan dihoskannya sendiri. Metro



















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...