Lqhx0TURF_15Boc_TC_UxW7ReY4 KAMUNTING CENTRAL: Cina @PAS Tidak Puas Hati Tangkapan #Khalwat

Pages

Monday, December 10, 2012

Cina @PAS Tidak Puas Hati Tangkapan #Khalwat


Kerajaan Negeri diminta memberi penjelasan berhubung dakwaan dua remaja berbangsa Cina yang diminta memberikan sejumlah wang untuk mengelak dari didenda atas kesalahan berdua-duaan di dalam kereta berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra baru-baru ini.


Bagi tujuan itu, Penasihat Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Kelantan, Jeff Lee Weng Chun berkata, pihaknya meminta Exco Kerajaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan tampil memberi penjelasan bagi mengelak ia menjadi polemik yang berpanjangan.


"Dua orang remaja yang ditahan baru-baru ini diminta untuk memberi wang bagi melepaskan mereka dan mereka sendiri telah tampil membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ianya melibatkan kredibiliti penjawat awam," katanya kepada Sinar Harian.


Dalam masa yang sama Jeff berkata, pihaknya turut meragui kesahihan notis saman yang diberikan kepada pasangan tersebut kerana ia dikeluarkan oleh individu berstatus pembantu tadbir dan bukan dari pegawai penguatkuasaan.


Dalam masa yang sama, Jeff mahu Kerajaan Negeri lebih bertoleransi kepada masyarakat bukan Islam Negeri dalam mengamalkan gaya hidup masing- masing.


"Jangan samakan apa yang orang Islam tidak boleh buat dengan orang bukan Islam boleh buat, ia dua perkara yang berbeza," katanya.


Menurutnya, isu-isu seperti inilah yang akan menjadi buah mulut pihak lawan dan ini akan merosakkan imej Kerajaan Negeri, Pas dan juga Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.


Beliau bimbang isu tersebut jika tidak diselesaikan akan memberi kesan kepada Pakatan Rakyat khususnya Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


"Saya tidak mahu perkara-perkara seperti ini menjejaskan sokongan pengundi untuk pilihan raya akan datang dan jika ianya tidak diselesaikan dan perkara ini masih terjadi, pelbagai masalah lagi akan timbul selepas ini," katanya.


Sehubungan dengan itu katanya, beliau berharap wakil Kerajaan Negeri tampil untuk berbincang dengan Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan juga Gabungan Persatuan Cina Kelantan bagi merungkai terbabit.


Dalam pada itu, Yang Dipertua MPKB, Fauzi Mat ketika dihubungi meminta pihak yang membuat dakwaan mengemukakan bukti sekiranya terdapat unsur rasuah dalam kakitangannya.


"Saya tidak percaya perkara itu berlaku, mungkin pegawai itu meminta pasangan itu melunaskan denda yang dikenakan, tetapi jika betul kemukakan bukti," katanya.


Mengulas kewajaran menangkap pasangan bukan Islam, Fauzi enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada Takiyuddin untuk membuat kenyataan.












No comments:

Post a Comment

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...