Kehadiran bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu di Sungai Siput adalah untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam usaha menawan kembali kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan bukan sebagai bakal calon.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan 'cakap-cakap' mengenai kehadiran Samy Vellu di Sungai Siput sebagai calon BN adalah hanya spekulasi dan permainan politik bagi mengagalkan usaha BN.
"Saya tidak fikir beliau (Samy Vellu) datang ke Sungai Siput untuk menjadi calon sebaliknya beliau datang ke Sungai Siput untuk bantu BN. Ini juga usaha pihak tertentu untuk gagalkan usaha BN itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Menteri Besar di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai maklum balas masyarakat Cina di kawasan itu yang mahu Samy Vellu kembali bertanding kerana gembira dengan perkhidmatan yang dicurahkannya selama mewakili kawasan Parlimen itu sejak tahun 1979.
Selain itu, Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata, pembahagian kerusi antara parti komponen BN di Perak bagi pilihan raya umum kali ini hampir selesai hasil perbincangan yang diadakan antara semua parti berkenaan.
"Kita tiada masalah, semuanya hampir selesai termasuk agihan kerusi MIC. Tunggu sahaja pengumuman nanti oleh pengerusi parti (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak). Setakat ini perbincangan mengenainya sudah diadakan dengan Perdana Menteri," katanya.
Mengenai perebutan kerusi yang didakwa antara PKR dan Pas di Parlimen Pasir Salak, Zambry berkata, ia tidak hanya berlaku di kawasan tersebut sebaliknya hampir di semua kawasan di Perak.
"Dengarnya di Pangkor pun bergaduh juga sebab maklumlah sekarang masing-masing mahu ke Putrajaya dan masing-masing merasa ghairah mahu ke sana dan yang terbaharu tengoklah bukan lagi rahsia perkara (pergolakan) antara (Datuk) Ngeh (Koo Ham) (Pengerusi DAP Perak) dan M.Kulasegaran (anggota Parlimen Ipoh Barat)," katanya.
Baru-baru ini, Kulasegaran meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap Ngeh dan Adun Pantai Remis Nga Kor Ming yang juga Setiausaha DAP Perak di Twitter.
Beliau juga mahu pimpinan pusat parti itu campur tangan mengenai konflik dan isu dalaman yang melanda DAP Perak terutama melibatkan pencalonan. - Bernama
No comments:
Post a Comment