KUALA LUMPUR - Malaysia tidak lagi bebas jika pihak luar dibiar campur tangan dalam menentukan kerajaan yang memerintah, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Riba Dunia Ketiga hari ini, Dr Mahathir mendakwa hasrat pembangkang menjemput pemerhati luar untuk memantau pilihan raya umum ke-13 sebenarnya bertujuan menuduh kerajaan menipu dalam pilihan raya.
"Tujuan satu sahaja, dia (pembangkang) kalah dia nak buat demonstrasi tentang penipuan dalam pilihan raya. Kerajaan tipu sebab itu parti kerajaan menang. Itu sahaja.
"(Pembangkang) Nak buat rusuhan macam di negeri Arab supaya dapat jatuhkan kerajaan di luar daripada sistem pilihan raya," katanya apabila ditanya mengenai tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan menulis kepada Menteri Luar Australia Senator Bob Carr meminta negara itu membantu memantau pilihan raya di Malaysia.
Ditanya mengenai pemerhati bebas yang dijemput semasa pilihan raya umum lepas, Dr Mahathir berkata: "Secara rasmi kita tak jemput, tapi kalau dia nak datang dan tengok, tengoklah.
"Tak ada negara yang mana parti kerajaan boleh kalah di lima buah negeri... tak dapat dua pertiga kerusi di Parlimen. Kalau betul-betul dia (kerajaan) nak tipu, saya ingat parti lawan (pembangkang) tak boleh menang lima buah negeri," katanya.
Persidangan Riba Dunia Ketiga membincangkan isu riba dan kaitannya terhadap kemelesetan ekonomi global yang berpanjangan, inflasi dan pergolakan sosial yang melanda dunia ketika ini.
Persidangan dianjurkan oleh Thinkers Trends Malaysia Resources dengan kerjasama Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pusat Al Ghazzali untuk Sains Islam dan Pembangunan Manusia (Australia).- Bernama
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment