Bait-bait sebuah lagu lama yang menuntut kesedaran mengenai kesan persengketaan yang boleh membawa kehancuran negara menyentuh emosi para perwakilan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Lagu Warisan ciptaan Tan Sri Nordin Kardi itu dinyanyikan oleh Pengerusi Kelab UMNO Tokyo, Ariff Yasir Zulkafli (gambar kecil) sewaktu membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO dengan hasrat meningkatkan perpaduan anggota parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Tanpa diduganya, semasa sesi berucap mewakili Kelab UMNO Luar Negara itu, semua perwakilan dan pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak turut bangun menyanyikan lagu itu bersama-sama.
Lirik yang penuh makna itu turut membuatkan sesetengah perwakilan menitiskan air mata.
Bercakap kepada Bernama selepas itu, Ariff Yasir berkata, beliau terkejut dengan reaksi perwakilan dan barisan kepimpinan UMNO yang turut bersamanya menyanyikan lagi tersebut.
"Niat saya hanyalah untuk menyampaikan mesej yang orang Melayu, khususnya dalam UMNO, harus bersatu sebagai sebuah keluarga agar kuat untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang," kata mahasiswa Kejuruteraan Kimia dan Biologi Universiti Gunma, Jepun itu.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment