Setelah lebih 21 tahun melaksana dan mempertahankan peraturan pengasingan jantina di kedai gunting rambut, Kerajaan Pas Kelantan akhirnya 'mengalah' atas alasan mengambil kira pandangan semua pihak dan faktor pilihan raya yang semakin dekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri memutuskan menangguhkan serta-merta penguatkuasaan semua syarat lesen kedai gunting rambut Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang membabitkan masyarakat bukan Islam.
Beliau berkata, penangguhan itu termasuk kompaun yang telah dikeluarkan sebelum ini, bermaksud penggunting rambut bukan Islam boleh menggunting rambut pelanggan bukan Islam berbeza jantina.
"Perkara ini diputuskan sebelum penyelesaian terbaik diumum dalam masa yang belum dapat ditetapkan. Kita kena faham, ini adalah isu penguatkuasaan undang-undang kecil bukannya penguatkuasaan undang-undang Islam.
"Setelah mengambil kira pandangan wakil kerajaan negeri dengan organisasi masyarakat bukan Islam, kerajaan negeri membuat keputusan menangguhkannya sementara satu kajian dan penilaian dibuat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
Sebelum ini, pengusaha-pengusaha salon dan kedai gunting rambut bukan Islam di bandar ini membantah tindakan MPKB-BRI yang menguatkuasakan peraturan pengasingan jantina.
Sayap bukan Islam dalam Pas, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan DAP turut membantah keras penguatkuasaan itu dan mahu kerajaan Pas Kelantan mengkaji semula tindakan tersebut.
"Semua benda (termasuk keputusan penangguhan) adalah berkaitan dengan pilihan raya, awak beritahu saya apa perkara yang tidak ada kaitan dengan pilihan raya," katanya.
Sent by kamuntingcentral.blogspot.com from Perak Cycber Troopers
No comments:
Post a Comment