Namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sentimen itu tidak laku digunapakai di Malaysia .
"Senario di sana berbeza, sistem kerajaannya tidak serupa dan mungkin masalah yang timbul hingga menyebabkan dikatakan revolusi kerana rakyat tidak puashati, tidak ada perhatian soal nasib mereka.
"Di Malaysia sejak awal hingga sekarang tumpuan kita tidak ada yang lain ialah soal kebajikan rakyat, walaupun ada masalah dan cabaran bukan mudah tetapi kita akui yang ia menjadi perhatian, di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang ini rakyat didahulukan," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenainya dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera BN pada pilihan raya kecil DUN Merlimau di Merlimau, Isnin.
Beliau berkata di Malaysia rakyat sudah terdidik dengan sistem demokrasi di mana rakyat boleh bersuara melalui pelbagai saluran.
Sementara itu Muhyiddin yang juga Pengarah pilihanraya BN Pusat dimaklumkan jentera BN sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas secara berfokus dan terancang dengan harapan untuk meraih sokongan yang lebih besar daripada pengundi.
"Saya beritahu mereka dalam mana-mana pilihan raya termasuk pilihan raya kecil ini pengundi adalah raja, mereka penentu bagi kita, sepatutnya kita membentuk satu hubungan yang rapat dengan pengundi bukan setakat menemui mereka tetapi mendengar perkara yang mereka mahukan kita dengar," katanya.
Muhyiddin mengadakan lawatan sehari ke DUN Merlimau. Beliau juga telah mengadakan walkabout sekitar pekan Merlimau untuk beramah mesra dengan orangramai dan peniaga di situ.
Sementara itu ketika berucap merasmikan bangunan baru SJK Cina Merlimau dan Sambutan Tahun Baru Cina di Merlimau pada sebelah malam Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM1.8 bilion setahun bagi membayar gaji guru-guru yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.
Beliau berkata guru-guru berkenaan mengajar di lebih 1,700 buah SJK di seluruh negara.
"Kalau ada pihak kata kita (kerajaan) tak sokong SJK, hanya sokong Sekolah Kebangsaan, itu tidak benar," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa membangun dan memajukan bidang pendidikan agar seluruh rakyat mendapat pendidikan yang baik.
Muhyiddin juga berharap rakyat tidak terpedaya dengan kata-kata pembangkang yang cuba memutar belit pelbagai isu khususnya pendidikan dan kenaikan harga barangan terutama menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau bulan depan.
"Soal kenaikan harga barang, kita (kerajaan) kawal harga barangan, tidak ada negara lain yang kawal harga barang," katanya.
Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya dari BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment