Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam berkata sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap Barisan Nasional (BN) meningkat sekali gus menunjukkan keyakinan mereka terhadap parti itu. Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi kehadiran pengunjung pelbagai kaum pada sambutan Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini semalam.
"Ini (kehadiran) menunjukkan mereka datang dengan kerelaan hati mereka, (kerana) mereka datang bukan diangkut tetapi (datang) sukarela dan datang beramai-ramai," katanya pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri semalam. Katanya, kerajaan BN telah membuktikan bahawa parti itu mampu memerintah negara ini dengan sebaiknya meskipun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Pada keseluruhannya mereka (rakyat) telah lihat segala usaha kita dalam membantu rakyat apatah lagi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) betul-betul bekerja keras bagi memastikan negara ini berada dalam keadaan aman dengan kerjasama semua rakyat tanpa mengira kaum," katanya. Perdana Menteri turun padang melihat segala permasalahan yang dihadapi semua kaum dan begitu juga yang dilakukan kerajaan negeri Perak, katanya.
Mengulas mengenai saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta rakyat mengenepikan sentimen perkauman dalam menyokong calon BN pada pilihan raya umum ke-13, Zambry berkata rakyat perlu menyokong siapa sahaja calon BN kerana pemerintahan negara ini tidak hanya berdasarkan kepada pemimpin satu kaum. "Ini merupakan satu amalan yang kita (BN) buat, itu ertinya BN bukan dibarisi hanya satu kaum (pemimpin).
Kita telah buktikannya sejak 50 tahun lalu. "Waktu bertanding kita hanya ada satu parti, kita hanya ada satu BN tidak seperti pembangkang walaupun dia kata ada pakatan rakyat tapi mereka tak ada satu parti, mereka akan bertanding mengikut bendera masing-masing," katanya.
No comments:
Post a Comment