Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu memastikan barisan kepimpinan selepas persaraannya nanti adalah kekal unik dan bersatu seperti sekarang.
Ini katanya bagi menentukan segala kebaikan dan pembangunan yang telah dirancang untuk Sarawak tidak akan terlepas ke tangan pemimpin yang salah.
“Saya akan pastikan barisan pemimpin bagi generasi hadapan di Sarawak ini cukup hebat dan sanggup bekerja kuat untuk membawa negeri ini menjadi negeri paling hebat,” kata Taib ketika Majlis Sepetang Bersama Ketua Menteri Sarawak bertempat di Dewan Suarah Miri di sini, petang semalam.
Menurutnya, pengekalan corak kepimpinan yang terbentuk seperti sekarang iaitu terdiri daripada berbilang bangsa adalah satu kepentingan bagi seluruh rakyat negeri ini yang juga melibatkan semua perancangan pembangunan yang telah digariskan.
Dengan itu, pengekalan corak kepimpinan berkenaan bermakna rakyat harus menolak pemimpin yang hanya tahu membangkitkan kekacauan dengan membuat pelbagai spekulasi tidak membina.
“Kita (kerajaan pemerintah) sudah 15 tahun mendahului sebelum pihak parti pembangkang berceloteh tentang pembangunan di Sarawak,” jelas beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sarawak.
Katanya lagi, selepas merdeka, para pemimpin di Sarawak telah lama berjuang serta bergelut untuk menentukan bahawa landasan politik yang betul diambil.
Ini juga kata Taib merangkumi penilaian yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat ke atas perubahan serta pembangunan negeri Sarawak yang terbentuk oleh corak kepimpinan sekarang.
Pada masa yang sama, Taib turut membayangkan ledakan ekonomi yang akan terbit daripada gelombang Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE). “Ini (ledakan ekonomi) adalah demi membina cita-cita anak cucu kita pada masa akan datang supaya mereka nanti hidup senang dan makmur,” katanya lagi.
Mengenai pilihan raya negeri akan datang pula, beliau percaya BN dapat mempertahankan kemenangan melalui semua kerjasama pemimpin dalam semua komponen parti.
No comments:
Post a Comment