Lqhx0TURF_15Boc_TC_UxW7ReY4 KAMUNTING CENTRAL: NIK AZIZ PERLU BERI PENJELASAN ISU PERJANJIAN 2002.

Pages

Wednesday, February 8, 2012

NIK AZIZ PERLU BERI PENJELASAN ISU PERJANJIAN 2002.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) mendesak kerajaan Pas Kelantan memberi penjelasan berhubung perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2002 dengan sebuah syarikat pemaju, Liziz Standaco Sdn. Bhd. (Liziz Standaco) untuk menjalankan projek pembangunan di Lembah Sireh di sini.

Presiden OMBAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, ini kerana melalui perjanjian yang dimeterai itu, kerajaan negeri bersetuju memberikan tanah seluas kira-kira 400 hektar kepada pemaju tersebut dengan bayaran premium hanya sebanyak RM1 juta dan sebagai ganti, pemaju perlu menjalankan beberapa projek di negeri ini membabitkan kos dianggarkan RM370 juta.

Wan Khairul mendakwa, dalam dokumen perjanjian yang dimilikinya, pemaju disyaratkan membina sebuah masjid bernilai RM20 juta, membangunkan jambatan penghubung Kampung Cina di sini dengan Palekbang Tumpat sebanyak RM150 juta, membina jambatan berkembar bersebelahan Jambatan Sultan Yahya Petra (RM160 juta), membina sebuah stadium tertutup wanita (RM25 juta) dan memasukkan wang ke dalam tabung perumahan sebanyak RM15 juta.

Dakwa beliau, persoalan utama timbul kerana dalam dokumen dinyatakan bahawa perjanjian tersebut tamat selepas 12 tahun iaitu sekitar tahun 2014 namun semua syarat yang ada dalam perjanjian masih belum dibangunkan sedangkan tempoh yang tinggal hanya dua tahun lagi.

Tambahan pula dakwa beliau, melalui dokumen yang diterimanya daripada sumber sahih, beberapa klausa dalam perjanjian itu menyatakan sekiranya kerajaan Pas Kelantan berhasrat membangunkan sendiri projek-projek yang disyaratkan dalam perjanjian, Liziz Standaco perlu memberikan wang mengikut jumlah kos yang ditetapkan kepada kerajaan negeri.

"Begitu juga dengan klausa berhubung jambatan berkembar iaitu pemaju perlu membinanya tetapi kalau kerajaan negeri sendiri nak buat mereka perlu masukkan duit kepada kerajaan negeri.

"Bagaimanapun sekarang, kita tahu jambatan berkembar itu sedang dibangunkan oleh kerajaan Pusat dan hampir siap jadi persoalannya adakah kerajaan negeri sudah menerima wang RM160 juta iaitu kos yang ditanggung kerajaan Pusat dan di mana wang itu.

"Jadi di sini beberapa perkara menimbulkan tanda tanya kerana semua syarat dalam perjanjian belum dibangunkan sedangkan tempohnya hampir tamat malah Lembah Sireh juga sudah dibangunkan sejak beberapa tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Khairul berkata, kerajaan Pas Kelantan perlu menjelaskan perkara ini kepada rakyat kerana tanah yang diberikan itu sangat luas tetapi premium yang diterima cuma RM1 juta justeru ia menandakan satu kegagalan dan kemungkinan berlaku 'sesuatu' jika semua syarat perjanjian tidak dipatuhi.

Dakwa beliau lagi, penjelasan turut perlu diberikan sama ada kerajaan negeri ada menerima apa-apa bayaran dan di manakah duit itu sekarang disimpan atau adakah ia telah dibelanjakan.

"Banyak perkara yang sangat mencurigakan termasuklah syarat membina jambatan menghubungkan Kampung Cina dan Palekbang kerana batu asasnya telah diletakkan beberapa tahun sebelum perjanjian itu.

"Adakah ini bermaksud kerajaan tidak mampu melakukannya sehingga memasukkannya dalam syarat perjanjian yang sampai sekarang pun masih belum dibina," tegas beliau.

Sebagai rekod, batu asas telah dipasang kerajaan Pas Kelantan di Palekbang kira-kira 18 tahun lalu kononnya untuk membina jambatan merentasi Sungai Kelantan menghubungkan antara Kampung Cina di Kota Bharu dan Tumpat.

Tambah Wan Khairul, OMBAK masih memberi peluang kepada kerajaan Pas Kelantan terutama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan perkara itu namun jika tiada jawapan beliau sendiri bersedia menyerahkan dokumen berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...