Lqhx0TURF_15Boc_TC_UxW7ReY4 KAMUNTING CENTRAL: BLOGGER PKR DIDAPATI BERSALAH OLEH MAHKAMAH.

Pages

Monday, July 4, 2011

BLOGGER PKR DIDAPATI BERSALAH OLEH MAHKAMAH.

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini memenangi saman fitnah beliau terhadap seorang penulis blog berhubung artikel yang memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan penulis blog Amizudin Ahmat, 42, didapati bersalah bagi memfitnah.

"Selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saya tidak mempunyai pilihan selain mendapati defendan bersalah melakukan fitnah," katanya.

Hakim Zabariah menetapkan esok untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung nilai ganti rugi.

Pada 31 Jan, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin, sharpshooterblogger.blogspot.com. beserta dengan gambar Rais, pada atau sekitar 28 Dis tahun lepas.

Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata seluruh artikel dalam bahasa Malaysia itu adalah berniat jahat dan memfitnahnya dan perkataan dalam artikel itu bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Rais, yang juga anggota Parlimen kawasan Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan tuduhan itu selepas penulis blog itu menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya Datin Seri Masnah Rais, memberitahu pemberita bahawa beliau sentiasa mempunyai sepenuh keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata beliau telah membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya, keluarganya dan juga reputasi kerajaan.

Rais berkata pembelaan defendan (Amizudin) bahawa beliau menerbitkan artikel itu berdasarkan justifikasi adalah tidak berhasil dan ia mengandungi natijah-natijah politik semata-mata.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Selepas Amizudin selesai memberikan keterangannya di mahkamah tengah hari tadi, Masnah dilihat memberikan ciuman di pipi Rais.

Pada prosiding hari ini, hanya Amizudin yang dipanggil sebagai saksi defendan manakala Rais tidak dipanggil memberi keterangan kerana pada prosiding yang lepas semasa pengurusan kes kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mempertikaikan bahawa artikel itu telah diterbitkan, bahawa perkataan itu adalah menfitnah Rais dan perkataan itu merujuk kepada Rais.

Oleh itu mahkamah meneruskan perbicaraan dengan  mendengar pembelaan justifikasi oleh Amizudin.

Ketika  pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, Amizudin berkata sebelum menerbitkan artikel itu dalam blognya, beliau tidak membuat pengesahan tentang kebenaran artikel itu dengan Rais atau isterinya Masnah dan juga dengan bekas pembantu rumah Rais.

Muhammad Shafee : Sebagai penulis blog dan ahli politik yangbertanggungjawab, sebelum menerbitkan sebarang artikel yang menuduh orang lain melakukan sesuatu perkara, anda mesti siasat bukan. Tapi dalam kes ini sebelum anda terbit artikel itu, anda langsung tidak siasat perkara itu sehingga ke akar umbi untuk pastikan perkara itu benar?

Amizudin: Betul.    Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau telah pergi ke Jakarta, Indonesia pada 18, 19 dan 20 Mei untuk mencari saksi selepas lima bulan beliau disaman oleh Rais.

Muhammad Shafee: Anda terbitkan artikel itu dahulu, baru nak buat siasatan?

Amizudin : Ya, betul, saya pergi ke Jakarta selepas saya kena saman.

Muhammad Shafee : Selepas anda kena saman baru pergi ke Jakarta, cari saksi.

Amizudin :Ya.

Kepada soalan Muhammad Shafee, bagaimana beliau boleh mengesahkan berita yang diterbitkan itu benar, Amizudin berkata beliau telah bertemu dengan Indah Utami, penulis laporan siasatan yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan Indonesia, Migrant Care, yang menjaga  kebajikan pekerja Indonesia di luar negara, yang telah menemu bual pembantu rumah itu.

Bagaimanapun, beliau gagal bertemu dengan pembantu rumah itu kerana tidak berjumpa rumahnya.

Katanya beliau pergi ke Jakarta bersama rakannya yang dikenali sebagai Cikgu Bad iaitu anggota PKR daerah Rembau atau nama penuhnya Badrulhisham Shaari dan seorang lagi yang beliau tidak ingat namanya.

Ditanya Muhammad Shafee adakah Cikgu Bad, boleh dikatakan sebagai musuh politik Rais, Amizudin berkata beliau tidak tahu, tetapi boleh dikatakan bukan kawan.

Beliau memberitahu bahawa artikel itu yang diterbitkan dalam laman blognya adalah "copy and paste" daripada artikel yang disiarkan dalam Harakah Daily berdasarkan siaran akhbar yang dibuat oleh Migrant Care pada 1 Ogos 2007.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakilinya, Puspawati Rosman, Amizudin berkata beliau percaya artikel yang diterbitkan itu benar kerana dalam laporan siasatan oleh Migrant Care, nama Rais disebut sebagai bekas majikan pembantu rumah itu.

Apabila ditanya adakah wakil Migrant Care dan mangsa akan hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan, beliau berkata bahawa mereka khuatir untuk datang ke negara ini untuk memberikan keterangan.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...