Lqhx0TURF_15Boc_TC_UxW7ReY4 KAMUNTING CENTRAL

Pages

Tuesday, July 12, 2011

BERSIH RM100 JUTA!

Kira-kira 5,000 peniaga kecil dan sederhana sekitar ibu negara dilaporkan terjejas kerana perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) semalam, dengan kerugian dianggarkan RM100 juta.

Berikutan itu, lebih 100 laporan polis dibuat golongan berkenaan sejak semalam sehingga hari ini bagi menuntut hukuman ke atas penganjur Bersih, Datuk S. Ambiga.

Daripada jumlah itu, seramai 146 peniaga kecil di sekitar Masjid Jamek terjejas kerana terpaksa menutup premis masing-masing bagi mengelak kejadian yang tidak diingini ketika peserta penganjur mula berarak di kawasan tersebut.

Menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah, nilai kerugian itu diperoleh daripada anggaran keuntungan RM10,000 setiap hujung minggu bagi seorang peniaga.

Sehubungan itu, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya menawarkan khidmat guaman percuma untuk membawa semua tuntutan kerugian peniaga ke muka pengadilan.

"Khidmat itu dikendalikan oleh tiga peguam dan peniaga-peniaga yang terjejas boleh membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak Ikhlas supaya tindakan undang-undang boleh diambil.

"Ikhlas turut menyediakan satu bilik gerakan sementara di Masjid Jamek atau boleh menghubungi pihaknya di talian 019-2066666 yang akan beroperasi dalam tempoh sebulan mulai hari ini," katanya pada sidang akhbar di Masjid Jamek, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan akan menyerahkan satu notis pemberitahuan berhubung perkara berkenaan kepada Ambiga pada minggu depan.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Monday, July 4, 2011

BLOGGER PKR DIDAPATI BERSALAH OLEH MAHKAMAH.

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini memenangi saman fitnah beliau terhadap seorang penulis blog berhubung artikel yang memfitnahnya yang dipaparkan dalam satu blog.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Zabariah Mohd Yusof memutuskan penulis blog Amizudin Ahmat, 42, didapati bersalah bagi memfitnah.

"Selepas mendengar keterangan dan hujahan daripada peguam yang mewakili plaintif dan defendan, saya tidak mempunyai pilihan selain mendapati defendan bersalah melakukan fitnah," katanya.

Hakim Zabariah menetapkan esok untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak berhubung nilai ganti rugi.

Pada 31 Jan, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), berhubung artikel yang diterbitkan dalam blog Amizudin, sharpshooterblogger.blogspot.com. beserta dengan gambar Rais, pada atau sekitar 28 Dis tahun lepas.

Rais, 69, dalam pernyataan tuntutannya berkata seluruh artikel dalam bahasa Malaysia itu adalah berniat jahat dan memfitnahnya dan perkataan dalam artikel itu bermaksud dan/atau difahamkan membawa maksud yang beliau bersalah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan mampu membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia.

Rais, yang juga anggota Parlimen kawasan Jelebu di Negeri Sembilan, menafikan tuduhan itu selepas penulis blog itu menamakannya.

Susulan itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah selama lapan tahun dengan Rais dilaporkan oleh portal berita Indonesia telah menafikan yang dirinya diberi layanan buruk atau dirogol oleh majikannya.

Selepas keputusan itu, Rais yang hadir bersama isterinya Datin Seri Masnah Rais, memberitahu pemberita bahawa beliau sentiasa mempunyai sepenuh keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Rais berkata beliau telah membawa kes itu ke mahkamah bagi membersihkan namanya, keluarganya dan juga reputasi kerajaan.

Rais berkata pembelaan defendan (Amizudin) bahawa beliau menerbitkan artikel itu berdasarkan justifikasi adalah tidak berhasil dan ia mengandungi natijah-natijah politik semata-mata.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada isterinya dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

Selepas Amizudin selesai memberikan keterangannya di mahkamah tengah hari tadi, Masnah dilihat memberikan ciuman di pipi Rais.

Pada prosiding hari ini, hanya Amizudin yang dipanggil sebagai saksi defendan manakala Rais tidak dipanggil memberi keterangan kerana pada prosiding yang lepas semasa pengurusan kes kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mempertikaikan bahawa artikel itu telah diterbitkan, bahawa perkataan itu adalah menfitnah Rais dan perkataan itu merujuk kepada Rais.

Oleh itu mahkamah meneruskan perbicaraan dengan  mendengar pembelaan justifikasi oleh Amizudin.

Ketika  pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Rais, Amizudin berkata sebelum menerbitkan artikel itu dalam blognya, beliau tidak membuat pengesahan tentang kebenaran artikel itu dengan Rais atau isterinya Masnah dan juga dengan bekas pembantu rumah Rais.

Muhammad Shafee : Sebagai penulis blog dan ahli politik yangbertanggungjawab, sebelum menerbitkan sebarang artikel yang menuduh orang lain melakukan sesuatu perkara, anda mesti siasat bukan. Tapi dalam kes ini sebelum anda terbit artikel itu, anda langsung tidak siasat perkara itu sehingga ke akar umbi untuk pastikan perkara itu benar?

Amizudin: Betul.    Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau telah pergi ke Jakarta, Indonesia pada 18, 19 dan 20 Mei untuk mencari saksi selepas lima bulan beliau disaman oleh Rais.

Muhammad Shafee: Anda terbitkan artikel itu dahulu, baru nak buat siasatan?

Amizudin : Ya, betul, saya pergi ke Jakarta selepas saya kena saman.

Muhammad Shafee : Selepas anda kena saman baru pergi ke Jakarta, cari saksi.

Amizudin :Ya.

Kepada soalan Muhammad Shafee, bagaimana beliau boleh mengesahkan berita yang diterbitkan itu benar, Amizudin berkata beliau telah bertemu dengan Indah Utami, penulis laporan siasatan yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan Indonesia, Migrant Care, yang menjaga  kebajikan pekerja Indonesia di luar negara, yang telah menemu bual pembantu rumah itu.

Bagaimanapun, beliau gagal bertemu dengan pembantu rumah itu kerana tidak berjumpa rumahnya.

Katanya beliau pergi ke Jakarta bersama rakannya yang dikenali sebagai Cikgu Bad iaitu anggota PKR daerah Rembau atau nama penuhnya Badrulhisham Shaari dan seorang lagi yang beliau tidak ingat namanya.

Ditanya Muhammad Shafee adakah Cikgu Bad, boleh dikatakan sebagai musuh politik Rais, Amizudin berkata beliau tidak tahu, tetapi boleh dikatakan bukan kawan.

Beliau memberitahu bahawa artikel itu yang diterbitkan dalam laman blognya adalah "copy and paste" daripada artikel yang disiarkan dalam Harakah Daily berdasarkan siaran akhbar yang dibuat oleh Migrant Care pada 1 Ogos 2007.

Semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakilinya, Puspawati Rosman, Amizudin berkata beliau percaya artikel yang diterbitkan itu benar kerana dalam laporan siasatan oleh Migrant Care, nama Rais disebut sebagai bekas majikan pembantu rumah itu.

Apabila ditanya adakah wakil Migrant Care dan mangsa akan hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangan, beliau berkata bahawa mereka khuatir untuk datang ke negara ini untuk memberikan keterangan.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

TITAH KHAS YANG DI-PERTUAN AGONG KEPADA BERSIH.

KUALA LUMPUR 3 Julai — Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran". Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara". — BERNAMA
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Thursday, June 30, 2011

BERSIH : 67 PERATUS RAKYAT MALAYSIA MENOLAK PERHIMPUNAN HARAM.

Kira-kira 67 peratus rakyat Malaysia yang menyertai kaji selidik menolak perhimpunan haram yang dijadualkan diadakan di ibu negara pada 9 Julai depan, menurut kajian dilakukan Institut Keselamatan dan Pertahanan Malaysia (MIDAS).

Kaji selidik sepanjang dua minggu lalu turut mendedahkan, 12 peratus rakyat mempunyai pendirian berkecuali, manakala hanya 21 peratus saja bersetuju perhimpunan haram itu diadakan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kajian MIDAS itu membuktikan majoriti rakyat negara ini menolak idea mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan haram itu.
“Ertinya, majoriti senyap rakyat kita tidak bersetuju dengan perhimpunan haram ini. Kaji selidik ini dilakukan institusi yang boleh dipercayai. Ia dilakukan berdasarkan peratusan demografi walaupun responden diambil secara rambang.

“Maka, saya fikir perhimpunan ini adalah gimik politik semata-mata. Mereka hanya mahu mewujudkan momentum untuk mengumpulkan penyokong pembangkang atau pengundi atas pagar untuk menyokong pembangkang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Angkatan Tentera Berhad (Koperasi Tentera) di Kem Sungai Buloh, di sini semalam.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT) merangkap Yang Dipertua Koperasi Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Roslan Saad dan Pengerusi Koperasi Tentera, Leftenan Kolonel Hamisan Mian.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan maklumat risikan, penganjur perhimpunan itu menganggap ia akan mencapai matlamatnya jika berlaku pertempuran dan penangkapan peserta perhimpunan dengan pihak berkuasa.
Beliau turut memberi amaran kepada pegawai dan anggota tentera yang didapati menyertai perhimpunan itu akan dikenakan tindakan berat mengikut undang-undang tentera.

“Pegawai dan anggota tentera tidak boleh terbabit secara langsung atau tidak dalam mana-mana aktiviti politik apatah lagi menyertai perhimpunan haram. Jika ada, kita wajib mengambil tindakan terhadap mereka seperti mengambil tindakan disiplin, digantung kerja atau hukuman lebih berat mengikut undang-undang tentera,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...