Pages

Monday, December 3, 2012

'Sifar Masalah', BN Boleh Menang Besar - @najibrazak

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat memberikan mandat pemerintahan lima tahun lagi kepada Barisan Nasional (BN) demi masa depan negara.


Beliau berkata, ini adalah kerana kerajaan BN sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam mentadbir negara sejak 55 tahun lepas berbanding pakatan pembangkang yang dilihat semakin tidak mempunyai asas persefahaman untuk menguruskan hala tuju negara dengan baik.


Katanya, kerajaan BN ikhlas untuk membantu semua rakyat dan percaya dalam tempoh hampir empat tahun ini, kejayaan terbukti apabila Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus, peningkatan dalam pelaburan di dalam negara dan luar negara serta peluang pekerjaan melebihi 300,000.


"Masa depan tidak boleh diperjudikan. Satu undi untuk pembangkang adalah satu undi untuk masa depan yang tidak menentu.


"Tetapi, satu undi buat BN adalah untuk masa depan yang lebih baik, selamat dan makmur," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk (PPP) di sini, hari ini.


Najib juga menjanjikan sebagai seorang Perdana Menteri, beliau akan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat dan negara, dengan lebih adil dan saksama dalam memastikan rakyat mendapat layanan dan faedah daripada dasar-dasar dan pentadbiran BN.


"Sebagai seorang pemimpin dan pengerusi BN, kita mesti merasai denyut nadi rakyat dan faham bahawa rakyat hari ini sudah berubah kerana kejayaan BN menyediakan akses kepada pendidikan dan zaman teknologi ICT," jelas beliau.


Perdana Menteri yakin kepimpinan memahami dan menghayati serta tahu aspirasi rakyat adalah tidak lain hanya mahu berada di bawah kerajaan BN.


Dalam pada itu, Najib mengingkatkan 13 parti komponen BN untuk bergerak sebagai satu formasi yang teratur dan tersusun ke arah satu objektif iaitu kesepaduan dan kefahaman yang amat jitu agar BN sentiasa menjadi satu parti yang kuat dan tidak mungkin ditandingi oleh parti pembangkang.


"Oleh itu, soal dalaman parti kita, kita perlu memastikan sifar masalah dan kita juga perlu memastikan sifar masalah antara parti komponen BN. Dengan itu, tanpa apa-apa masalah besar, (Insya-ALLAH), BN pasti akan menang besar dalam pilihan raya umum," katanya.


Tambah Najib, BN telah mengambil iltizam untuk mesti bangkit semula daripada 'mimpi ngeri' pada pilihan raya umum ke-12, dan sedar akan mesej yang dihantar oleh rakyat kepada BN untuk melakukan perubahan bagi menjamin masa depan mereka.


Perdana Menteri turut mengingkatkan jentera PPP agar sentiasa bersedia, cergas dan bertenaga untuk menentukan perjuangan BN dalam PRU13.


Seramai 4,047 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung PPP, yang bertemakan 'BN Tidak Akan Menghampakan Rakyat'. - Bernama



Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment