Pages

Saturday, December 1, 2012

Doa KO BN : Fathul Bari Ajak Umno Maafkan PAS.



Perwakilan Arau, Fathul Bari Mat Jahya mengajak semua ahli Umno memaafkan tindakan PAS mendoakan kehancuran parti itu.


Menurutnya, Umno-Barisan Nasional (BN) merupakan parti yang sarat dengan politik kasih sayang bukan politik kebencian seperti pembangkang.


Oleh itu, sebagai umat Islam, semua ahli Umno-BN wajib untuk memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh PAS walaupun parti itu tidak mahu mengakui kesilapan mereka yang jelas.


"Semua manusia telah ditentukan oleh Allah akan melakukan kezaliman dan kesilapan. Tidak akan ada seorang pun yang akan bebas daripada melakukan kesilapan.


"Menyentuh tentang isu doa, saya mahu menyeru kepada semua hadirin dan semua ahli Umno, mari kita maafkan mereka (PAS)," tegasnya ketiga membahas usul agama dan pendidikan di Perhimpunan Agung Umno 2012 hari ini.


Tambah ulama muda Umno itu lagi, PAS sebuah parti Islam yang sepatutnya menjulang akhlak dan akidah yang baik sebaliknya berterus-terusan mencaci dan menaburkan fitnah kepada parti pemerintah.


Kata Fathul, Islam mengajar umatnya untuk menyebarkan perkara yang benar dan baik belaka dan dilarang sekali untuk mengkafirkan sahabat Islam yang lain.


"Jangan ada kafir mengkafir wahai Umno dan itulah yang kita lakukan.


"Selama ini mereka Pakatan tanpa henti menyerang kami dengan perkataan-perkataan yang sakit dan yang pedih.


"Mereka hanya menceritakan keburukan kita dan mahu memberikan persepsi kebencian kepada masyarakat terhadap kita," jelasnya.


Beliau turut menyifatkan kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat baru-baru ini yang menyelar Umno parti murtad kerana memerlekehkan agama Islam sebagai kenyataan yang membuta tuli.


Fathul menangkis dakwaan sambil berkata bahawa umum turut mengetahui Umno merupakan parti yang sentiasa menegakkan agama Islam dan perkara itu terbukti dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Nik aziz kata memperlekehkan golongan yang memperlekehkan Islam adalah murtad dan Umno memperlekehkan Islam, jadi maksudnya Umno murtad.


"Sedangkan dalam perlembagaan Umno sejak penubuhannya mempertahankan, menegakkan dan mengembangkan Islam.


"Kita mengamalkan ajaran Islam seperti Puasa, Zakat dan apa yang lebih membanggakan Tabung Haji adalah merupakan pengurusan haji yang terbaik di dunia. Adakah ini maknanya kita (Umno) memperlekehkan Islam?,"ujarnya.


Beliau ketika membahas usulnya dalam Dewan Merdeka, PWTC turut memaparkan klip video yang menunjukkan Datuk Nik Razi Nik Aziz, adik kepada Nik Aziz mengimamkan doa kehancuran Umno dan klip video kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz mendakwa Umno murtad sebagai bukti.


Dalam pada itu, Fathul turut menyeru Umno-BN agar mengadakan kempen 1Malaysia Tolak Fitnah sekaligus menyiapkan jentera parti dalam menghadapi PRU 13.


Katanya, kempen terbabit perlu dianjurkan bagi mengingatkan ahli parti itu supaya sentiasa memuhasabah diri untuk menyebarkan perkara-perkara yang dimuliakan oleh Allah S.W.T.


Tambahnya, masyarakat perlu disemaikan dengan perilaku yang baik dengan memanfaatkan segala ruang media sedia ada.


"Cadangan saya yang kedua untuk kita mengadakan kempen mulut, iaitu kempen "1Malaysia Tolak Fitnah.


"Jika kita menyebarkan perkara yang kita sendiri tidak pasti kebenarannya, maka kita akan dianggap sebagai pendusta," tegasnya.


Jelasnya, beliau tidak mahu negara menjadi mangsa kepada kepentingan sesetengah pihak hanya kerana tuntutan kuasa.


"Soal keburukan orang lain tidak perlu untuk kita campuri apatah lagi sebarkan, tetapi perkara yang baik tidak kita sebarkan.


"Jangan kerana kedudukan kita menggadaikan agama kita," tegasnya.


Justeru, Fathul menasihatikan ahli Umno-BN untuk memperbaiki ilmu pengetahuan asas agar dapat melontarkan fakta dan kenyataan yang sentiasa tepat.


"Kita perlu semarakkan ilmu pengetahuan asas kita.


"Jangan cakap mengenaii sesuatu topik kalau tidak faham, jangan cakap tentang ekonomi atau agama jika tidak tahu," ujarnya.


Persidangan Agung Umno hari ini akan menumpukan usul agama dan pendidikan sebelum sesi pengulungan ucapan dasar presiden oleh kepimpinan tertinggi Umno.


Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan membuat ucapan penangguhan pada sebelah petang.
-AP




Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone





























No comments:

Post a Comment