Pages

Sunday, September 16, 2012

BERPOLITIK PERLU KEWARASAN BUKAN MENJAHANAMKAN.

GAYA orang kita berpolitik nampak semakin pelik. Apa sahaja yang boleh dijadikan isu, dibumbu (digunakan) sehabis boleh. Yang penting dapat menarik perhatian rakyat. Kiranya gagal menarik perhatian, dapat mengelirukan pun sudah cukup baik. Kepentingan pembinaan negara bangsa juga sanggup dipertaruhkan.

Semakin dekat pilihan raya, semakin gigih usaha digembeling tanpa menghiraukan prinsip-prinsip Rukun Negara. Kepercayaan dihakis. Kesetiaan dikhianati. Keluhuran Perlembagaan dinilai sebagai dokumen lapuk. Kedaulatan Undang-Undang diperlekeh. Kesopanan dan Kesusilaan macam apa adanya sekarang.

Apa yang telah dibina sekian lama, cuba diruntuhkan. Yang disemai adalah bibit-bibit kebencian. Apa yang berlaku di negara-negara Timur Tengah diuar-uarkan sebagai kebangkitan rakyat, dan rakyat negara kita juga perlu bangkit tanpa diperjelaskan apa dan kenapa sebenarnya.

Undang-undang diheret ke jalan-jalan raya dalam satu amalan yang disifatkan demokrasi dan disebut demonstrasi.

Lepas satu, satu lagi demonstrasi dianjur bagi memperlihatkan kepada dunia bahawa rakyat marah dengan kerajaan. Kerajaan yang telah sekian lama berbakti ini dilihat korupsi dan mengkhianati rakyat. Kerajaan tidak bersih. Lalu ramailah orang berhimpun dekat Dataran Merdeka dalam Janji Bersih. Bagaimanalah boleh kita menjanjikan bersih apabila yang berhimpun adalah ternyata pengacau-pengacau?

Pada malam kita menyambut kemerdekaan, orang melaung-laungkan janji bersih.

Pada masa kita menghayati perjuangan generasi terdahulu, kita bersikap seperti tidak bertamadun.

Pada malam yang sepatutnya orang memperbaharui dan memupuk kesetiaan, benih-benih kebencian disemai.

Pada masa kita menjulang bendera di puncak tiang, bendera itu mahu ditukarkan.

Sambutan memperingati tarikh kemerdekaan dan seluruh perjuangan merdeka bebas telah berubah menjadi bahan senda gurauan.

Dalam sejarah, belum pernah ada bendera sesebuah negara ditukar hanya kerana kehendak beberapa orang. Dalam sejarah juga belum pernah ada rakyat menghina bendera negaranya sendiri. Memang ada kejadian memijak atau membakar bendera, tetapi ini dilakukan oleh rakyat negara lain sebagai protes terhadap dasar negara luar. Orang tidak pernah protes negara sendiri dengan menghina bendera negaranya, walaupun pada negara yang rakyatnya terbelenggu dengan kadar pengangguran yang tinggi dan malahan kebuluran!

Maaf saya katakan, Raja kita, bukan Raja Kelawar atau Raja Lekuk. Raja kita terangkum dalam Perlembagaan yang kita sendiri nukil dan terima sejak dahulu. Diterima oleh siapa pun yang mengaku sebagai warganegara. Namun, raja kita pun disigung. Orang telah diasuh melangkahi gambar pemimpin malah memijak-mijak.

Dan akhirnya orang tergamak membuntutkan dan memijak gambar Perdana Menteri kita.

Saya percaya seluruh rakyat sangat terasa menonton adegan ini.

Harap tidak keterlaluan, bila saya mengandaikan negara ini sebagai sebuah pentas untuk para pelakon berlakon dan penonton menikmati hasil lakonan sebagai hiburan.

Berlakonlah semahu mana, sama ada mengikut skrip atau tidak. Bersoraklah sesuka kita. Akan tetapi berlakonlah dan bersoraklah mengikut maksud masing-masing asal jangan sampai pentas ini rosak binasa sehingga kita tiada lagi tempat berlakon dan penonton bertempiaran lari.

Dalam satu gerakan kemanusiaan menyelamatkan pendatang tanpa izin 1982 dekat Sri Pantai, Mersing, Johor dalam menjalankan kerja-kerja penyeliaan dan pemantauan, seorang atasan bercakap kepada saya yang sehingga kini tetap saya ingat:

"Jadilah apa pun terhadap negara ini, janganlah kita lari seperti orang-orang hanyut ini. Apa pun yang berlaku, tetaplah, setialah di negara kita sendiri!"

Kita masih belum terlambat mengubah gaya kita berpolitik. Politik hanya cara. Keutuhan negara perlu pertimbangan waras.ishak mohamed

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

No comments:

Post a Comment