Pages

Thursday, December 2, 2010

PULAU PINANG BAKAL MILIK KEDAH


Kedah dicadang tuntut semula Pulau Pinang

ALOR SETAR 1 Dis. – Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) hari ini mencadangkan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana negeri tersebut pada asalnya kepunyaan Kedah.

Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, cadangan itu ditimbulkan kerana Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sebelum berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan British pada 1786.

“Setelah negara kita merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak.

“Tetapi Pulau Pinang tidak dikembalikan kepada Kedah dan terus dijadikan sebuah negeri yang berasingan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perjanjian yang dibuat antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet pada tahun 1800, Pulau Pinang dipajak untuk menampung keperluan ekonomi pada masa itu.

Pada ketika itu, Pulau Pinang dipajak dengan harga 6,000 manakala Seberang Prai dipajak dengan harga 4,000 dan pihak British membayar wang tersebut kepada Sultan Kedah dengan menggunakan mata wang Sepanyol.

Menurut Wan Shamsudin, Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah pada masa ini.

“Pembayaran pajakan masih wujud sehingga kini dan ini bererti, keadaan tersebut masih wujud dan tidak salah untuk Kedah membuat tuntutan,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan mengadakan satu seminar dengan pakar-pakar sejarah untuk mengumpulkan fakta-fakta dan bukti yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang yang dahulunya di bawah naungan Kesultanan Kedah.

“Kami juga akan menyerahkan bukti dan fakta tersebut kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terserah kepada mereka untuk menuntut semula Pulau Pinang atau tidak,” katanya.

KC : AGAK-AGAK LAH SIAPA BAKAL MENTERI BESAR YANG BARU???